ADA APA DENGAN TIN MILO?



Momokan yang mensinonimkan PAS dengan derma tin Milo sudah lama berkumandang. Yang ramai tersalah tafsir, penyokong PAS tidak pernah dan tidak akan berasa malu dengan ejekan tersebut.


Bagi mereka, derma itu satu bentuk jihad kecil. Mengeluarkan pitis hasil mengais pagi dan petang adalah perjuangan untuk agama. Itu cara PAS.


Sekalipun pemimpin mereka menerima RM90 juta daripada UMNO seperti yang didakwa Clare Rewcastle Brown, mereka akan tetap memenuhkan tin Milo dengan duit poket sendiri. 


Saya tidak mengeyakan dakwaan tersebut, yang pasti Tuan Guru mereka mengeluarkan wang sebanyak RM1.4 juta kepada Clare untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah. 


Jumlah tersebut tidak termasuk kos guaman yang dibayar Hadi Awang sebanyak RM13.2 juta kepada firma guaman terkemuka di London.


Biarkan pemimpin mereka bermewah, tin Milo akan tetap dipenuhkan dengan logam dan kertas bernombor oleh penyokong PAS. 


Tin Milo adalah simbol. Warnanya hijau seperti parti kesayangan, serbuknya pula boleh dibuat air yang dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira kelas. Malah, tin Milo terasa lebih dekat dengan jihad berbanding ‘fundraising dinner’ di hotel mewah. Itu pasti.


Bercakap soal pasti, PAS merupakan satu-satunya parti politik di Malaysia yang mempunyai sistem pendidikan prasekolah tajaan penuh mereka sendiri. 


Pusat Asuhan Tunas Islam atau PASTI merupakan institusi pendidikan awal yang dikelola oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Sistem pentadbiran PASTI berstruktur lengkap dengan silibus khas, pentauliahan, persatuan alumni sehinggalah skim persaraan buat tenaga pengajar. Guru-guru di PASTI pula berkelulusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak daripada Institut Latihan PASTI Malaysia.


Minda anak-anak ini sudah dilentur sedari rebungnya sehinggalah membesar menjadi alumni mereka seperti Syahir Sulaiman, Hafez Sabri dan Nazrul Nazir yang secara kebetulannya, merupakan pemimpin PAS. 


Kini, struktur persekolahan tajaan PAS ini dilanjutkan pula ke Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI).


Saya tidak mahu membuat spekulasi tentang sistem pendidikan tajaan penuh parti politik. Namun kalau orang putih, mereka panggil hal ini sebagai ‘mind conditioning’ atau ‘grooming’. 


Yang pasti, sistem seumpama ini menjadikan PAS lebih dekat sebagai gaya hidup kepada penyokong mereka.


Satu perkara yang barangkali boleh dicontohi oleh parti-parti lain ialah penubuhan markas PAS. 


Markas ini lazimnya didirikan dengan khemah berkaki empat, namun ia tidak roboh bersama musim pilihan raya yang tamat. 


Bagi parti-parti lain, pusat gerakan hanya dibina dan diturunkan semasa tempoh perayaan demokrasi. Berbeza dengan markas PAS yang sentiasa ada pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja terutamanya di kawasan kampung.


Markas ini dikunjungi bukan hanya untuk berpolitik, malah sentiasa terbuka buat penyokong mereka mengopi dan bergosip hal-hal duniawi.


Perkara seperti ini menjadikan parti itu lebih dekat dengan komuniti setempat khususnya di luar bandar.


Kesemua hal yang saya nyatakan dalam penulisan ini membawa kepada satu fahaman. 


Hemat penyokong mereka, PAS bukannya parti politik, PAS itu adalah gaya hidup. 


Masa kecil mereka dihabiskan di sekolah tajaan PAS, rezeki masa muda mereka dikongsi bersama tin Milo dan masa tua mereka diluangkan di markas.


Semasa Tuan Guru berfatwa bahawa PKR melawan al-Quran, ramai yang tersalah faham. Kenyataan itu dibuat bukan untuk menimbulkan kemarahan orang PKR. 


Tidak sama sekali. 


Seruan itu adalah untuk menaikkan amarah mereka yang membesar bersama PAS.


Mesejnya mudah – berjihadlah kalian melawan kemungkaran. Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA