ANAK BORNEO DI TANAH SEBERANG


Saya masih ingat pesan arwah ayah kira-kira 10 tahun yang lalu.


“Esok-esok kalau Along datang KL, jangan lupa singgah tengok KLCC. Tu mercu kebanggaan kita, tinggalan Tun M”. 


Seolah satu wasiat yang harus dilunas, saya gagahi diri untuk berkunjung ke KLCC setibanya mula menjejak kaki di sini. Begitu mahsyur dan agungnya bangunan ini. 


Barangkali kalau jasa dan sumbangan Tun M boleh diukur, pasti ianya lebih tinggi daripada menara KLCC ini.


Benarlah kata ayah, inilah salah satu tanda kebanggaan negara yang ditinggalkan oleh Tun M. 


Namun lewat ini, ada beberapa tindakan yang dilakukan Tun M seakan-akan mahu merobohkan legasi maha tinggi yang dibina sendiri. Saya terfikir, apakah ini masih tidak disedari oleh beliau?


Mungkin pahit untuk ditelan, tetapi itulah pandangan saya sebagai anak muda yang hidup di zaman Tun M. Saya begitu mengagumi beliau. 


Hatta atas dasar penghormatan kepada beliau, saya nukilkan teguran ini.  Sudah tiba masanya Tun M bersara daripada politik. 


Sudah-sudahlah membina naratif yang cenderung mengundang prasangka dalam kalangan masyrakat. 


Berilah ruang dan peluang kepimpinan hari ini menentukan dan meneruskannya dengan idea dan wawasan yang lebih segar.


Tun sudah diberi peluang untuk menulis sejarah, kini giliran yang lain pula.


Sedarlah akan hakikat sebenar, zaman perjuangan Tun M sudah tiba pada garisan penamat. 


Tidak ada sesiapa yang akan menghancurkan pembangunan dan kemajuan yang Tun M tinggalkan, apatah lagi merosakkannya.


Fokuslah pada perkara yang sepatutnya ditumpukan dalam mengisi hari-hari meniti waktu senja. 


Bersara dan berehatlah, kekalahan Tun M dalam PRU lepas adalah isyarat yang terang lagi bersuluh.


Saya percaya seandainya ayah masih ada, dia juga berkongsi pendapat yang sama. 


Berilah kepercayaan dan dukungan kepada pentadbiran hari ini. Jangan diasak dengan naratif-naratif yang tidak ada arah dan faedahnya.


Bukankah di dalam wawasan pemikiran Tun M terdahulu mahu melahirkan masyarakat yang berbudi dan berbakti?


Pemimpin hari ini lahir dari zaman Tun. Belajar bunga dan tari politik dari Tun.


Percayakan diri sendiri Tun bahawa anak-anak didik Tun juga mampu mengemudi negara sepertimana yang dilakukan Tun suatu tika dahulu.


Maka, berundurlah. Kalau pasang air pun ada surutnya, kalau bahang mentari pun ada dinginnya, maka manusia juga punya titik noktahnya. 


Salah satu nikmat hidup, manusia dipanjangkan usianya. Syukuri dan manfaatkannya Tun.

Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA