SUDAH-SUDAHLAH TUN



Saya berpendirian bahawa sosok bernama Mahathir Mohamad adalah individu paling berpengaruh dalam sejarah Malaysia. 


Sama ada hal tersebut positif atau sebaliknya, terpulang kepada perspektif masing-masing untuk menilai.


Kekalahan memalukan sampai sirna deposit di Langkawi tidak menambah atau mengurang jasa Tun Mahathir kepada nusa.


Begitu juga dengan kegagalan sebagai Perdana Menteri dalam mempertahankan Kerajaan yang cuma sempat berusia 22 bulan.


Itu cuma pendirian peribadi. Bagi banyak pihak lain, Tun Mahathir seolah-olah punya misi untuk mencela legasi sendiri.


Sudah menjadi rahsia terbuka, Tun Mahathir merasakan hanya dirinya yang layak memimpin negara. Jawatan perdana itu hak eksklusif beliau.


Dari zaman Pak Lah sehingga kini, Tun Mahathir tidak pernah jeda mengkritik sesiapa sahaja yang bersemayam di Perdana Putra.


Kalau kritikan itu membina, tiada masalah. Namun setiap teguran beliau disulam dengan kata penuh kebencian.


Hemat saya, seorang negarawan ulung sepatutnya sentiasa mahukan yang terbaik buat negara. Tidak kira siapa atau parti apa yang memerintah.


Terbaru, beliau memanggil petugas media dari segenap pelusuk untuk mengatakan bahawa Anwar Ibrahim hanya pandai bercakap.


Apa Tun Mahathir lupa bahawa Anwar Ibrahim belajar tari dan bunga politik daripada dirinya?


Atau 5 Perdana Menteri yang bertandang selepas beliau semuanya membesar dalam UMNO sewaktu Tun Mahathir adalah orang nombor satu?


“Tiada apa nak dibangga 100 hari Anwar jadi PM.”


Barangkali Mahathir mudah lupa.


“Kita tahu 100 hari adalah tempoh masa yang mustahil.” Itu omong yang keluar dari mulut Tun Mahathir sendiri kali terakhir beliau berkuasa.


Malah untuk katakan bahawa tiada perubahan dalam tempoh 100 hari Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah kenyataan falasi yang tidak adil.


Lihat sahaja Sabah dan Sarawak. Kuasa kawal selia gas kini beralih daripada PETRONAS kepada Sabah. Pemberian khas dinaikkan sehingga RM300 juta. Projek di bawah RM50 juta boleh diluluskan di peringkat negeri. Timbalan Perdana Menteri juga dari Sarawak.


Masalah berkenaan Sabah dan Sarawak yang sudah berdekad lamanya bermula (berpunca) dari zaman Tun Mahathir, kini satu demi satu sudah boleh disilang daripada senarai panjang.


Sudah-sudahlah Tun. Andai sekalipun kamu galau Malaysia menjadi Singapura, kami tidak risau.


Sudah tiba masanya, rakyat Malaysia pula menikmati tata kelola yang telus, sistem pengangkutam awam berkelas dunia dan gaji yang bermaruah. Presiden Singapura juga orang Melayu.


Kebencian Tun Mahathir terhadap Perdana Menteri dan Singapura bersalasilah daripada rasa cemburu kerana Perdana Menteri bukan dirinya, Singapura bukan negaranya.


Apapun, terima kasih atas sumbangan kamu, Tun. Masanya telah tiba untuk berehat.

Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA