ANWAR IBRAHIM TELADANI KETAMADUNAN ISLAM



Anwar Ibrahim merupakan pemimpin dan intelektual Muslim yang punya hasrat dan cita untuk membangunkan Malaysia dengan mencontohi ketamadunan Islam masa lalu.


Gagasan besar yang memayungi pentadbiran Kerajaan Perpaduan ialah Malaysia Madani.


Madani merupakan kata pinjaman daripada bahasa Arab yang bererti kemajuan pemikiran, kerohanian dan kebendaan.


Konsep ‘Madani’ dipercayai digagaskan oleh Ibnu Bajjah, seorang sarjana Islam dan menteri semasa zaman Tamadun Islam Andalusia.


Beliau menekankan kepentingan untuk mengimbangi pembangunan materi dan nilai insan.


Perkara ini yang cuba diasimilasi pentadbiran Anwar Ibrahim menerusi Malaysia Madani.


Antara langkah terawal yang diambil Anwar Ibrahim sebaik mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ialah menjadikan Seri Perdana sebagai pusat kegiatan ilmu.


Para ulama dan huffaz dari seluruh dunia bertandang ke kediaman rasmi Perdana Menteri untuk menjayakan majlis ilmu.


Misalnya, Majlis Mahabbah Ulama pada Januari lalu yang menjemput 2 ilmuwan tersohor pimpinan Umum Markaz al-Jailani, Istanbul.


Inilah konsep ‘Madani’ yang diketengahkan Ibnu Bajjah suatu ketika dahulu. Pengisian rohani turut diutamakan selain pelaksanaan dasar-dasar makro untuk membangunkan negara.


Semalam, Majlis Ilmu Madani yang dihadiri 18,000 pengunjung diadakan di Masjid Putra.


Bekas Mufti Agung Mesir, Syeikh Profesor Dr Ali Juma'ah Al Azhari serta Pengetua Dar Al Mustofa di Yaman, Habib Umar bin Muhammad bin Salim telah diundang bagi berkongsi ilmu dan pandangan mereka.


Masjid sebagai pusat kegiatan sosial yang menghimpunkan ramai penduduk sudah dimulakan sejak zaman Rasullulah SAW lagi.


Malah semasa zaman Empayar Turki Uthmaniyah, Aya Sofia dijadikan sebagai masjid yang menjemput ilmuwan dari negara-negara sekitar untuk berdiskusi, berdebat dan bersyarah.


Satu perkara yang menarik perhatian ramai tentang pentadbiran Anwar Ibrahim ialah respon balasnya terhadap tindakan Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Sweden.


Sebagai tindak balas terhadap tindakan biadap tersebut, Anwar tidak menyerang kedutaan Sweden atau berdemonstrasi secara besar-besaran.


Sebaliknya, Anwar memilih untuk mencetak 1 juta al-Quran termasuk 20 ribu naskah terjemahan dalam bahasa Sweden untuk diedarkan ke seluruh dunia.


Tindakan ini sekaligus membidas stigma negatif yang mengaitkan Islam dengan ekstremisme.


Dasar mencetak dan mengedar al-Quran ke serata dunia sebenarnya sudah lama dimulakan di Bukhara, pusat Islam dan kebudayaan yang penting di Asia Tengah semasa Dinasti Samaniyah.


Sehingga ke hari ini, salah satu manuskrip al-Quran tertua di dunia, al-Quran Kattalanggar yang dicetak pada abad kelapan masih wujud dan dipamerkan di muzium terkemuka serata dunia.


Sebenarnya, banyak lagi pendekatan Islami yang diambil Anwar Ibrahim termasuklah solusi ‘wasatiyyah’ dalam menyeru penyelesaian konflik di Myanmar, menggantikan sambutan ambang tahun baharu dengan program munajat serta pengenalan modul pendidikan guru ulul albab di UPSI.


Selain itu, Anwar Ibrahim turut memelihara hubungan baik dengan negara-negara anggota OIC menerusi lawatan kerja ke Brunei, Indonesia dan Arab Saudi.


Anwar Ibrahim sedar bahawa untuk membina negara masa kini, kita perlu belajar dari ketamadunan masa lalu.


Malaysia Madani adalah gagasan yang diadun dengan meneladani mereka yang datang terdahulu sebelum kita, bagi membina negara yang makmur dengan kerencaman bangsa dan agama.

Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA