APA YANG CUBA DISAMPAIKAN MELALUI FESYEN ANWAR IBRAHIM?



Istilah ‘power dressing’ dipopularkan pada zaman 70-an bagi menggambarkan pemilihan pakaian oleh pemimpin dan kaitannya dengan corak kepimpinan mereka.


Anwar Ibrahim tidak terkecuali daripada senarai panjang pemimpin global dan lokal yang mencuri perhatian dengan pemilihan fesyen beliau.


Anwar Ibrahim memulakan tugasan di Perdana Putra dengan baju Melayu dan bersamping dagang dalam, dilengkapi dengan capal.


Riuh media sosial dengan perkataan ‘sempoi’ dan ‘santai’. Tidak kurang juga yang mengkritik dengan mengatakan pemilihan pakaian Anwar Ibrahim kelihatan tidak formal.


Buat yang kurang mangli dengan istilah ‘dagang dalam’, ianya bermaksud pemakaian samping di belakang baju Melayu.


Cara pemakaian tersebut dipercayai dipopularkan oleh Sultan Abu Bakar dari Johor, bezanya busana yang dikenakan adalah Cekang Musang.


Imej pertama yang cuba ditampilkan Anwar Ibrahim sebagai seorang Perdana Menteri adalah ‘relatable’ atau mudah didekati.


Anwar Ibrahim ialah pemimpin rakyat biasa. Asalnya orang biasa, perjuangnya untuk orang biasa, pakaian juga seperti orang biasa.


Pemilihan cara pemakaian samping dan capal adalah imej ‘Melayu’ yang barangkali dapat melegakan sedikit golongan konservatif yang begitu bimbang dengan kemelayuan mereka sekiranya Anwar (atau DAP) memerintah.


Hari pertama Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan pula sedikit berbeza. Beliau memilih sut biru tanpa tali leher.


Lazimnya seorang Menteri memilih untuk bersut gelap yang diukur mengikut saiz badan dan sudah tentu bertali leher.


Namun tidak bagi Anwar. Sosoknya kelihatan kasual, tidak terlalu formal dan terikat dengan protokol.


Tanpa tali leher, Anwar dilihat bebas dan tidak terjerut oleh budaya elitis korporat.


Malah, cara pemakaian sebegini lebih sesuai dengan iklim Malaysia yang panas sepanjang tahun.


Selain itu, Anwar Ibrahim memilih untuk memakai sut dengan songkok setiap kali ke luar negara.


Imej ini unik dan dapat mempromosikan busana Melayu di pentas antarabangsa.


Sebenarnya, cara pemakaian sebegini dipopularkan oleh Ikhwanul Muslimun, sebuah gerakan intelektual Islam pada awal 30-an yang dipelopori Hassan al-Banna.


Seperti al-Banna, Anwar juga merupakan seorang intelektual yang berbangga dengan nilai-nilai Islam serta dikenali sebagai seorang reformis.


Bagi melengkapkan fesyen Anwar, beliau sering sering dilihat mengenakan jam tangan Apple Watch Series 8.


Hal ini sudah tentu janggal buat rakyat Malaysia.


Lazimnya, politikus sering mengenakan jam tangan mewah - Richard Mille, Rolex atau Patek Philippe.


Tahun lalu, mantan Perdana Menteri berbicara soal subsidi sambil mengenakan jam tangan Audemars Piguet bernilai hampir RM300 ribu.


Ini bukan cara Anwar. Pemilihan jam tangan tersebut menampakkan beliau lebih rendah diri dan memahami kehendak rakyat.


Di usia 75 tahun, agak melegakan bagi rakyat Malaysia mengetahui bahawa Anwar memilih gaya hidup yang sihat dan memantau jumlah langkah yang diambil olehnya setiap hari melalui jam tangan pintarnya.


Sama ada pemakaian sut, capal, songkok dan jam tangan oleh Anwar Ibrahim dirancang dengan teliti atau sebaliknya, kita tidak akan ketemukan jawapannya.


Yang pasti, Anwar memilih busana yang tepat dan sesuai, sama ada secara kebetulan atau disengajakan.


Saya akhiri penulisan ini dengan petikan kata-kata dari seorang sarjana Timur, Lin Yutang.


“Saya ingin kembali ke budaya ketimuran dan tanggalkan tali leher. Tali leher menjerut pemikiran yang merdeka.”

Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA