MENILAI KERJASAMA PH-BN SELEPAS 6 BULAN MEMBENTUK KERAJAAN



Sewaktu Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan Perpaduan akan dibentuk dengan kerjasama BN, ramai yang terkesima.


Bagaimana UMNO akan duduk semeja dengan musuh tradisi mereka DAP?


Bagaimana dengan caci-maki-hamun PH dan BN antara satu sama lain selama ini?


Ada yang sekadar mensyukuri berita Anwar Ibrahim akhirnya menjadi Perdana Menteri. Tidak kurang juga yang pesimis.


Apapun, penyatuan PH-BN di bawah satu bumbung adalah magis Anwar. Luar biasa, tiada siapa yang bisa menduga.


Orang putih kata, ibarat mengeluarkan arnab dari dalam topi.


6 bulan pantas berlalu. 


Kerajaan masih stabil (abaikan Hadi dan ‘doh cukup jumloh’). 


Ekonomi semakin pulih.


Melayu dan Islam masih lagi bahasa dan agama rasmi Persekutuan, tidak seperti yang dikhuatiri walaun di seberang sana.


Sekarang masa yang sesuai untuk menilai kembali kerjasama PH-BN.


Saya tidak akan lambakkan fakta kenaikan KDNK, pulangan pelaburan tertinggi dalam sejarah dari China atau segala macam dasar yang dikeluarkan - Malaysia Madani, Menu Rahmah, IPR dan lain-lain lagi.


Penilaian ini adalah berdasarkan sentimen awam.


Adakah PH-BN kelihatan selesa bekerjasama?


Bagaimana pula penerimaan penyokong kedua-dua belah penyokong?


Agak mengejutkan, PH dan BN kelihatan ibarat sudah ditakdirkan bersama. Pengarah slot Akasia pun tidak mampu meramal skrip ini.


Tiada isu dalaman yang besar sehingga menggangu pentadbiran, tiada tuding-menuding apabila wujud permasalahan.


Kesemuanya diselesaikan bersama secara baik.


Tahun lalu, kerjasama BN-PN cukup huru-hara. Ismail Sabri adalah mangsa keadaan. Cerita pembelotan, pembubaran Parlimen dan pergeseran dalaman sentiasa kedengaran.


Sewaktu kali terakhir PH di dalam Kerajaan pula selepas PRU-14, masalah ketidakstabilan juga berlaku.


Waktu itu, ramai yang tertanya-tanya tentang perihal masa Tun Mahathir akan mengundurkan diri untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.


Kerajaan Perpaduan kali ini kelihatan lebih stabil. Perjalanannya lebih lancar.


Saya yakin, pasti ada sahaja pertembungan pendapat. Namun yang penting, kita sebagai rakyat tidak mendengarnya.


Semua isu diselesaikan secara dalaman.


Bagi para penyokong PH dan BN pula, tiada siapa yang menafikan bahawa kerjasama ini agak janggal pada awalnya.


Namun kini, mereka sudah boleh tidur sebantal dan berkongsi mimpi yang sama.


Penyokong BN sudah mula sedar bahawa PH atau lebih spesifik, DAP tidaklah sebuah parti ekstremis seperti yang digambarkan.


Mereka tidak akan menyentuh soal Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan. Kesemua ini hanya propaganda murahan semata.


Bagi penyokong PH pula, mereka menyedari bahawa pengalaman BN sebagai Kerajaan amat penting bagi membantu pemimpin mereka mentadbir negara.


2018 adalah tahun yang huru-hara buat PH. Ini perlu kita akui.


Mereka gagal mengawal sentimen rakyat. Mereka hanyut dengan serangan demi serangan. Akhirnya, mereka lemas.


Situasi itu tidak lagi berulang.


6 bulan sudah berlalu. Dalam tempoh yang singkat ini, kita dapat melihat betapa sebenarnya mereka boleh bekerjasama.


DAP dan UMNO boleh mengenepikan perbezaan mereka.


PH dan BN bijak mengurus masalah dan sentimen rakyat.


Zahid juga sudah mula menyeru ahli UMNO untuk memangkah calon DAP dalam PRN akan datang.


Mungkin ada benarnya kata orang dulu-dulu, “dalam politik, apa sahaja boleh berlaku.”

Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA