MUDA MASIH MUDA




Tidak matang, belum bersedia, kurang pengalaman ; itu antara alasan yang asyik dilontarkan kepada anak muda setiap kali kita mahu menghuni posisi kuasa.


Malangnya MUDA, parti yang sepatutnya mewakili anak muda, seolah-olah sedang giat membuktikan bahawa kesemua tohmahan tersebut adalah benar-benar belaka.


MUDA terlalu gopoh dalam berpolitik. Semuanya mahu dibidas. Semuanya mahu dibantah.


Suara mereka paling lantang. Lantang mereka malangnya kontang pengisian dan tunggang-langgang.


Kata orang putih, ‘anjing paling lemah menyalak paling kuat’.


Kali ini, MUDA memilih untuk bersuara soal isu LCS.


Ya, isu ini penting. Benar, ia melibatkan wang rakyat. Kita mahukan akauntibiliti.


Namun setiap perkara ada aturannya.


Apabila Syed Saddiq mencadangkan agar usul tergempar LCS dibahaskan di Parlimen, cadangan tersebut ditolak.


Alasan Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah munasabah. Perkara ini masih dalam penelitian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).


Tunggu sehingga laporan penuh disiapkan oleh PAC, kemudian baru diperdebatkan.


Bagaimana mahu dibawa ke Parlimen selagi semua fakta dan perincian masih belum dikemukakan?


Namun, MUDA tidak sabar. Kalau boleh, perbahasan mahu diadakan semalam. Itu pun sudah terlewat bagi mereka.


Apabila usul ditolak, MUDA menyerang pula Yang Dipertua Dewan Rakyat. Dituduhnya pula Speaker Dewan tidak ambil pusing tentang kepentingan awam.


Sedangkan, beliau hanya mengikut proses dan prosedur yang betul.


Tidak cukup dengan itu, nafsu serakah MUDA dilampiaskan pula terhadap Presiden Amanah, Abang Mat.


Teruk Abang Mat diserang. Diungkit kembali cerita lama sewaktu Abang Mat meminta usul LCS diperdebatkan.


Wahai MUDA, betul dulu kita semua tuntut isu LCS dibawa ke Parlimen. Bukan Abang Mat sahaja.


Itu sebelum PAC ditubuhkan bagi menyiasat perkara ini.


Sekarang PAC sudah ada. Sabar, jangan diikutkan sangat darah muda itu.


Kamu juga yang mengemis di tangan Abang Mat dahulu untuk diberikan kerusi Puteri Wangsa.


Apabila Abang Mat berbesar hati memberikan laluan kepada MUDA, beliau arahkan pula jentera Amanah untuk sama membantu calon MUDA.


Jangan sampai orang cakap MUDA tak kenang budi. Atau lebih teruk, MUDA mudah lupa.


Maklumlah, masih ramai yang merasakan MUDA itu proksi Tun.


Pesan saya sebagai orang muda kepada MUDA, matanglah dalam berpolitik. Sekiranya ada masalah, bincang secara dalaman.


Kata orang putih, ‘usah ditayang pakaian kotor kepada semua’.


Akhirnya, ramai yang percaya bahawa MUDA masih tidak matang, belum bersedia dan kurang pengalaman.


Pendek kata, MUDA masih terlalu muda.

Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA