PAS YANG DULU, BUKAN YANG SEKARANG



PAS merupakan parti yang sarat dengan sejarah perjuangan sedari awal penubuhannya pada tahun 1951.


Sejak itu, PAS sudah melalui pelbagai perubahan ideologi sehinggalah kelahiran era kepimpinan ulama pada awal tahun 1980-an apabila golongan muda yang mengambil inspirasi daripada Revolusi Iran bangkit menyingkirkan Asri Muda.


PAS selepas itu mula diterajui pimpinan ulama termasuklah Fadzil Noor, Yusuf Rawa, Nik Aziz dan Hadi Awang.


Sejak itu, perjuangan Islam semakin disinonimkan dengan PAS. Semangat perjuangan yang membara ini disemarakkan lagi dengan fahaman ekstrim yang membawa kepada kewujudan Amanat Haji Hadi yang dilafazkan di Peradong, Terengganu pada tahun 1981.


Amanat ini membawa kepada fahaman ‘politik suku, agama suku’. Hukum bersolat dimamkan oleh ahli UMNO, memakan sembelihan ahli UMNO dan mengahwini keturunan mereka adalah haram.


Amanat tersebut dicetak dalam tulisan rumi dan jawi serta ditampal di dinding-dinding markas PAS.


Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan amanat tersebut sebagai bertentangan dengan Islam pada tahun 1984. 


Namun, Amanat Haji Hadi tetap dianuti sehinggalah membawa kepada Peristiwa Memali 1985 yang mengorbankan Ustaz Ibrahim Mahmud dan 13 orang pengikutnya.


Fahaman ekstremis PAS ini telah mengundang kekalahan teruk dalam PRU 1986.


Kegagalan memalukan ini adalah titik mula kebangkitan PAS. Selepas PRU berkenaan, PAS kini diterajui Fadzil Noor yang membawa pendekatan wasatiyyah atau bersederhana.


Amanat Haji Hadi kini hanya tinggal sejarah hitam yang tidak lagi dipatuhi ahli PAS.


PAS kini lebih terbuka dan bersederhana sesuai dengan demografi Malaysia yang rencam dan berbagai.


Imej baharu PAS ini diterjemahkan lagi dengan kesediaan mereka bekerjasama dengan parti politik lain seperti Semangat 46 di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU).


Keterbukaan Fadzil Noor yang kini turut dikongsi PAS kemudiannya membuka pintu kepada kerjasama dengan kaum lain termasuklah DAP yang bermula secara rasmi di bawah GERAK dan kemudiannya Barisan Alternatif semasa Pilihan Raya 1999.


Fadzil Noor turut menyokong tuntutan Dong Zhong bagi mengiktiraf sijil UEC.


Seperti yang sedia maklum, Fadzil Noor dan Anwar Ibrahim adalah sahabat lama yang punya rasa hormat antara satu sama lain.


Beliau sendiri menjadi Presiden ABIM sewaktu Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA ekoran Demonstrasi Baling.


Selepas Anwar Ibrahim menjadi mangsa kerasukan politik Mahathir, Fadzil Noor melalui PAS menyatakan sokongan terbuka terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri itu.


Beliau mengkritik kekejaman Mahathir dan pendakwaan politik terhadap Anwar Ibrahim.


PAS kini dilihat berwajah baharu. Rakyat Malaysia semakin menerima PAS yang diterjemahkan melalui kejayaan menawan Kelantan dan Terengganu semasa Pilihan Raya 1999.


Kejayaan ini menyebabkan PAS mula diangkat sebagai peneraju utama parti pembangkang.


Malangnya, pemergian Fadzil Noor pada tahun 2002 diikuti dengan pemergian Nik Aziz membawa PAS kembali ke lembah ekstremis di bawah Hadi Awang.


Golongan profesional di dalam PAS yang cuba mengimbangi politik haluan kanan ekstrim yang dibawa Hadi Awang diusir keluar pada tahun 2015 dan akhirnya menubuhkan Amanah.


DAP yang dahulunya begitu akrab dengan PAS kini disembelih sebagai kambing hitam dengan tuduhan kononnya parti tersebut menentang Melayu dan Islam sehinggalah terkuburnya Pakatan Rakyat.


Sikap ekstrim kepimpinan Hadi mula bertapak kembali apabila PAS tidak lagi mesra dengan bukan Islam. Slogan PAS For All yang berasaskan konsep rahmatan lil a’lamin tidak lagi diperjuangkan.


Maka tidak hairanlah lewat ini amalan kafir mengkafir sudah wujud kembali di dalam PAS.


Ketua Pemuda PAS Sik dalam kempen PRU 2022 yang lalu mengeluarkan fatwa betapa tindakan mengundi PH dan BN akan membawa ke neraka.


PRU yang sama turut menyaksikan amalan bersumpah atas nama Allah kepada pengundi agar mereka memangkah PAS.


Pesuruhjaya PAS Melaka pula berkongsikan pandangan beliau kononnya cara untuk menjadi ahli sunnah wal jamaah adalah dengan mendaftar sebagai ahli PAS.


Paku terakhir pada keranda perjuangan asal PAS adalah kerjasama Hadi Awang dengan Mahathir, individu yang menyifatkan mangsa Peristiwa Memali ‘mati katak’.


Malangnya, PAS pimpinan Hadi Awang kini bukanlah PAS pimpinan Fadzil Noor dahulu. 


Wallahu a'lam.

Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA