KWSP YANG TERSASAR


Gerakan #KWSPbersasar semakin bergema di ruang maya. Lihat sahaja seksyen komen setiap hantaran Anwar Ibrahim di media sosial.


Anwar menunaikan umrah? #KWSPbersasar


Tesla mahu melabur? #KWSPbersasar


Ucapan selamat berpuasa? #KWSPbersasar


Hakikatnya gerakan ini hanya dikuasakan motif politik yang sekadar tahu dan mahu membuat kacau-bilau.


Tuntutan ini bukannya hendak memenuhkan perut mereka yang sedang lapar, sebaliknya sekadar memenuhkan selera kuasa yang tiada sudah.


Mari kita teliti asas tuntutan #KWSPbersasar.


Sasaran pengeluaran khas kali ini adalah golongan yang benar-benar memerlukan, kelompok B40.


Soalnya, apa B40 masih punya wang dalam tabungan KWSP? Jawapannya tidak.


6.7 juta ahli atau 51.5 peratus pencarum mempunyai simpanan di bawah RM10,000.


Bagaimana mahu buat pengeluaran khas sebanyak RM10,000 andai lebih separuh pencarum tidak mempunyai jumlah sebanyak itu? 


Pendek kata, B50 bukan hanya B40, tidak cukup wang simpanan.


Kemudian dimainkan pula sentimen perkauman. Kononnya, Kerajaan hari ini tidak mahu membantu orang Melayu. 


Sedangkan, median simpanan Bumiputera kini hanyalah sebanyak RM3,300. Tabungan masa tua mereka di tahap kritikal.


Siapa yang akan menikmati pengeluaran khas ini sebenarnya? 


Yang pasti, bukan B40, bukan juga orang Melayu. Wang mereka sudah habis.


Dalam kadar simpanan semasa, jangkaan wang persaraan pencarum adalah sebanyak RM42 sebulan selama 20 tahun.


Berbekalkan kurang RM50 sebulan, barang dapur pun tak lepas. Menu Rahmah setiap hari pun tidak mungkin dengan simpanan pasca persaraan serendah itu.


Akhirnya, Kerajaan memilih solusi yang lebih realistik dan bukannya populis.


Kepada yang benar-benar memerlukan wang, Kerajaan menyediakan instrumen pinjaman bank dengan menjadikan simpanan KWSP sebagai cagaran. 


Anda peroleh RM10,000, bayar secara ansuran, tanpa menjejaskan simpanan hari tua.


Kalau tidak mahu meminjam, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) disediakan sehingga RM2,500. 


Bagi penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih, sumbangan tambahan sebanyak RM600 akan disalurkan.


Maknanya, keluarga dalam kelompok miskin tegar, akan mendapat sumbangan sehingga maksimum RM3,100. 


Mereka juga layak menerima Bakul Rahmah berbentuk barangan keperluan asas setiap bulan.


Buat 2 juta ahli KWSP berumur antara 40 hingga 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang RM10,000, anda tidak perlu keluarkan wang saraan.


Sebaliknya, Kerajaan sendiri akan menambah tabungan kalian. Golongan ini akan menerima sumbangan sebanyak RM500 ke dalam Akaun 1 masing-masing.


Kesemua ini adalah alternatif Kerajaan yang langsung tidak menyentuh tabungan rakyat. 


Fungsi asal KWSP adalah simpanan masa tua, bukan kad ATM yang boleh membuat pengeluaran wang pada bila-bila masa.


Hakikatnya, #KWSPbersasar sudah jauh tersasar. 


Golongan B40 yang kononnya cuba dibantu menerusi pengeluaran khas ini sudah tidak punya wang untuk dikeluarkan. Dalam masa yang sama, Kerajaan sediakan pelbagai langkah bagi menokok wang mereka.


Kita semua tahu, sasaran sebenar #KWSPbersasar hanyalah untuk menjaringkan skor politik pihak di seberang sana. 


Andai tuntutan mereka dipenuhi, bersoraklah mereka bukan kerana rakyat kini punya wang tambahan, namun kerana berjaya menundukkan Kerajaan.


Malangnya, gerakan kalian tidak mengenai sasaran. Bola kini di gelanggang kalian, sila cuba lagi.

Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA