RUMAH SUDAH SIAP, HADI MASIH BERBUNYI



Kerajaan sudah selamat didirikan. 

Malah semasa merasmikan istiadat pembukaan Parlimen, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pengharapan agar Anwar Ibrahim merupakan Perdana Menteri terakhir sebelum Baginda berangkat pulang ke negeri Darul Makmur.

Kerajaan ini stabil. Rumah ini stabil.

Pahat masih lagi berbunyi kerana kultus itu mahu menggambarkan seolah-olah Kerajaan sedia ada tidak stabil. Bila-bila masa boleh roboh. 

Itu semua percaturan politik. Dengar boleh, percaya jangan.

Rumah ini cukup sifatnya serta dibina mengikut spesifikasi dan aturan yang luhur.

Ini bukan dua rumah terdahulu yang dibina oleh arkitek politik.

Jangan khuatir.

Khutbah Hadi tentang atap bocor dan kempen media sosial berbayar kononnya PMX bakal jadi XPM hanyalah dakyah songsang yang mahu meyakinkan anda betapa Kerajaan semasa tidak stabil.

Rumah ini bukan didirikan di tepian pantai yang bisa dilambung ombak pada bila-bila masa.

Rumah ini bukan berdinding kaca yang boleh diceroboh semudah balingan batu oleh mereka yang menyembunyikan tangan kemudiannya.

Rumah ini didirikan atas kebitaraan Agong oleh dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Barangkali puak tersebut beriman kepada pepatah ‘rumahku, syurgaku’ dan abadi merasakan syurga itu eksklusif untuk mereka.

Sebab itu, hujahan usang dan songsang betapa undi PAS masuk syurga serta undi PH masuk neraka masih digunakan dalam kempen pilihan raya baru-baru ini. Rujuk sahaja kenyataan Shahiful Nasir, Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Sik. 

Kepada ahli Kerajaan Perpaduan, jalankan amanah anda dengan penuh akauntibiliti. Jaga anak-anak di dalam rumah dan abaikan sahaja kera yang bergelumat di luar sana.

Anak Tuan Guru kata, Perikatan Nasional ialah ‘government in waiting’. Biarkan mereka terus termangu menunggu. Jangan gegabah.

Mereka cuma mahu tuan rumah tidak fokus menjaga keluarga di kediaman sendiri kerana khuatir atapnya diceroboh pencuri.

Lunaskan janji-janji anda. Usah biar peristiwa pasca PRU-14 berulang dan dogma bahawa PH bersinonim dengan janji falasi disiar kembali.

Orang dulu-dulu ada menyebut ; beralih kain di balik rumah, beralih cakap di balik lidah. Cari maksudnya sendiri, fahami dan jangan amalkan.




Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA