ADA APA DENGAN #SELANGORBAHARU?



PRN 2023 belum bermula. DUN juga belum dibubarkan.


Namun kempen untuk memenangi undi sudah dijalankan.


PN melancarkan gerakan #SelangorBaharu di media sosial. Mereka menanam hasrat dan cita untuk menawan Selangor semasa PRN akan datang.


Ada apa dengan #SelangorBaharu?


Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang ada pada #SelangorBaharu. Yang saya tahu, apa yang tidak ada di #SelangorBaharu - bekalan air.


Anda tidak perlu melihat masa hadapan untuk mengenali Selangor di bawah pimpinan PN. Lihat sahaja apa yang berlaku di Kelantan, Terengganu dan Kedah, itulah nasib Darul Ehsan kelak.


Mana-mana negeri di bawah pimpinan PAS dan PN pasti akan mengalami masalah bekalan air bersih.


Ini bukan satu kebetulan. Tidak sama sekali.


Saya tahu, Selangor juga kadang-kala mengalami masalah bekalan air. Namun, ianya masih terkawal. Gangguan akan hadir dengan jadual dan amaran awal.


Sebagai penghuni Selangor, saya sendiri tidak ingat bila kali terakhir rumah saya mengalami masalah air. Yang pasti, sudah lama.


Nasib yang sama tidak dialami penduduk di negeri jajahan PN.


Aidilfitri yang lalu, hampir 1 juta penduduk Kedah mengalami masalah bekalan air.


Di Kelantan, kalau sekalipun air keluar dari paip rumah, warnanya seolah sudah dibancuh dengan serbuk teh.


Masih ramai penduduk Terengganu yang terpaksa berwudhuk di tebing sungai kerana ketiadaan air di kediaman.


Soalnya, kenapa masalah ini hanya berlaku di negeri pimpinan parti yang mengaku terpaling Islam?


Apa Islam mengajar seorang cucu di Kampung Paloh, Kota Bharu untuk memandikan jenazah neneknya menggunakan air ihsan balai bomba? Hanya kerana rumah dan masjid di kampunya tidak punya bekalan air. Islam itu mudah, yang pasti ini tidak mudah.


Masalah air bukan satu-satunya masalah eksklusif buat penduduk di Kelantan, Terengganu dan Kedah.


Pimpinan Kerajaan PAS di 3 negeri tersebut seolah-olah kontang idea untuk menambah kantung negeri.


Solusi mereka sama, musnahkan hutan simpan. Runtuh dan robohkan pemberian Tuhan untuk memberi wang kepada Kerajaan Negeri.


Kata orang muda-muda, membalak bersama ulama.


Di Kelantan, hutan hijau sudah bertukar tanah merah akibat pembalakan di Hutan Simpanan Kekal Nenggiri dan Sokor Taku.


Pembalakan di Hutan Simpan Sungai Nipah, Terengganu menyebabkan masalah bekalan air berikutan kemasukan sisa kayu-kayan ke dalam sungai.


Penanaman Musang King di Hutan Simpan Gunung Inas pula menyebabkan banjir besar di Baling, Kedah.


Apa kita mahu negeri terkaya terpaksa mengubah portfolio ekonomi mereka kepada penerokaan hutan untuk menambah hasil negeri?


Sudah tentu, tidak sama sekali.


Namun, itulah realiti #SelangorBaharu yang hanya hadir dengan masalah-masalah baharu. Masalah yang langsung tidak terjangkau dek akal oleh penduduk Selangor selama ini.


#KitaSelangor, itu kata Menteri Besar kita.


Jadi bersama kita lindungi Selangor daripada politikus usang yang sudah kontang idea, kelak kontang pula sumber air dan hutan kita.


Minta dijauhkan.

Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA