APABILA FATWA IKUT SELERA



Dalam Islam, ada politik. Ada petikan al-Quran terkait Kerajaan Sulaiman. Ada sirah para sahabat dalam memimpin dunia Islam pasca kewafatan junjungan besar.


Dalam politik juga, ada Islam. Namun bezanya, Islam ciptaan Tuhan itu sempurna dan menyempurnakan politik. Politik ciptaan dan mainan manusia pula bisa mencelakan kesucian dan nama baik Islam.


Apabila Islam dijadikan alat untuk cita-cita politik, maka porak-perandalah manusia.


Di sini PAS hadir. Kononnya, parti terpaling Islam.


Parti yang punya sejarah panjang dalam mencampur aduk Islam dan politik. Sampaikan Amanat Haji Hadi dijadikan fatwa yang melarang orang PAS berimamkan orang UMNO semasa bersolat.


Ini kisah lama, kata PAS. Sekarang kami sudah berubah.


Apa benar PAS sudah bersalin kulit? Apa benar PAS tidak lagi menggunakan agama untuk menggerakkan agenda politik mereka?


Baru sahaja beberapa bulan lepas, mantan Ketua Pemuda PAS Sik, Shahiful Nasir mengeluarkan ‘fatwa’ semasa berkempen pilihan raya kononnya undi PH dan BN akan membawa ke neraka.


Ya, ini kisah benar. Bukan puluhan tahun dahulu, sebaliknya baru sahaja berlaku tidak sampai 6 bulan yang lalu.


Lewat ini, hangat pula isu penggunaan kalimah Allah oleh kelompok bukan Islam.


Kononnya, Kerajaan hari ini tidak peduli soal Islam dan sensitiviti penganutnya.


Sedangkan pada Mac 2021, Hadi Awang sendiri ‘berfatwa’ bahawasanya orang bukan Islam juga boleh menggunakan kalimah Allah atas tujuan pendidikan.


Apakah ‘fatwa’ Hadi sudah berubah? Apakah penganut PAS kini tidak lagi berpegang kepada pandangan Hadi?


Sudah tentu tidak. Pandangan mereka berubah hanya untuk meraih mata politik.


Ini bukan kaki pertama pendirian mereka berubah.


Maka tidak hairanlah, PAS kini berselimut dengan Tun Mahathir.


Kalau dahulu, Mahathir itu dianggap sejahat-jahat dan sejahil-jahil umat. 


Apa tidaknya, Mahathir sendiri pernah memanggil PAS sebagai parti kafir. Mahathir jugalah yang menggelar magsa Memali mati katak dan bukannya mati syahid seperti yang ‘difatwakan’ PAS.


Pemimpin dan penyokong PAS yang dahulunya menamakan Mahathir sebagai Mahafiraun, kini bersekongkol pula dengan mantan Perdana Menteri tersebut.


Katanya, demi Islam dan Melayu.


Ini akibatnya apabila Islam hanya dijadikan kenderaan untuk memacu mereka ke puncak kuasa.


Halal dan haram bukan lagi berteraskan hukum. Pahala dan dosa tidak lagi berasaskan ajaran Islami.


Maka akhirnya, fatwa diwartakan mengikut selera.

Comments

Popular posts from this blog

APABILA MUDA MASUK PRN

ADA APA DENGAN TIN MILO?

APA PILIHAN PESAWAH PADI DI KEDAH?