PAS BERSAMA DAP BOLEH, UMNO BERSAMA DAP TAK BOLEH?



Hadi Awang semalam mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO akan tersasar sekiranya terus bekerjasama dengan DAP.


Dengan menggunakan hujah yang sudah dikitar semula beribu kali, Hadi mendakwa DAP cuba untuk mencabar kedudukan Islam.


Buktinya? Tidak ada.


Hadi Awang bangkitkan pula soal pengharam arak dan judi kepada orang Islam yang kononnya ditentang DAP.


Komentar seperti ini saya tidak terkejut sekiranya datang daripada walaun. Rupanya, Presiden mereka sendiri sudah mula mempercayai penipuan yang mereka sendiri cipta.


Tunjukkan resit kepada semua bahawa DAP memperjuangkan hak orang Islam untuk berjudi dan minum arak.


Sudah tentu, PAS dan Hadi tidak mampu berbuat sedemikian.


Akan tetapi, saya boleh hadir dengan lambakan fakta yang sebenarnya DAP menghormati kedudukan Islam di Malaysia.


Lihat sahaja di Pulau Pinang, negeri terpaling DAP di mata PAS.


Dalam Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2023, Kerajaan pimpinan DAP telah meningkatkan peruntukan bagi tujuan pembangunan Islam kepada RM75.08 juta.


Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding negeri-negeri di bawah jajahan PAS.


Malah buat walaun, usah khuatir. Azan masih lagi berkumandang di sana.


Sebenarnya, kenyataan Hadi Awang ini penuh ironi. PAS sendiri pernah tidur sebantal dan berkongsi mimpi yang sama dengan DAP.


Waktu itu, tiada masalah pula.


Bagaimana dengan 33 bulan PAS bersama dengan UMNO di dalam Kerajaan?


Adakah UMNO yang suci dan muluk ketika bersama PAS kini sudah bertukar najis dan kotor?


Ini semua hipokrasi. Dengan PAS, semua boleh. Kalau berseteru, semua jadi haram.


Kemudian, Hadi Awang berbicara pula soal kluster mahkamah.


Lihat kiri dan kanan kamu, Hadi. Sahabat-sahabat kamu daripada Bersatu juga sudah diheret ke muka pengadilan.


Anak, sepupu dan menantu juga didakwa sama. Inilah kronisme yang kamu dan PAS tentang selama ini.


Atau kronisme juga sudah halal buat PAS? Kronisme bertukar membantu sesama keluarga demi silaturrahim?


Hadi bingkas melihat kuman di seberang laut. Apabila gajah bertenggek di pelupuk mata, Hadi memilih untuk berdiam diri.


Sudah-sudahlah menjadi hipokrit, Hadi Awang. Halal haram dan betul salah bukan hak kamu dan PAS untuk tentukan.

Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA