RAYUAN YANG MEMANJANGKAN KEKELIRUAN
Sensitiviti umat Islam seharusnya dilentur dengan kefahaman yang menyeluruh, bukan sebuah generalisasi kepada kerajaan melecehkan usaha menjaga kesucian agama.
Mengapa namanya 'rayuan'? Kerana KDN pernah kalah. Kenapa kalah? Kerana asas kes yang dibangkitkan bertentangan dengan perlembagaan.
Perlu difahami, sebelum ini memang wujud undang-undang yang melarang penggunaan kalimah Allah (specific law) melibatkan pelesenan percetakan dan penerbitan akhbar, serta kawalan kepada penerbitan bahan-bahan yang mengganggu gugat keharmonian kaum dan kekeliruan agama.
Namun, kes KDN v. Jill Ireland di luar lingkup undang-undang tersebut, dakwaannya lebih bersifat _general law on public order_. Ketika penganut agama menggunakan bahan untuk kegunaan peribadi, ia tidak boleh disabitkan dalam larangan yang pernah dikeluarkan kerajaan.
Malah, tidak ada bukti dikaitkan bahan agama yang dibawa Jill bertujuan untuk dakwah, apatah lagi untuk sebaran awam dan memesongkan akidah muslim.
Maka timbul persoalan lebih penting di sebalik tomahan kepada kerajaan - Rayuan yang diteruskan akan memberi kemenangan kepada siapa?
Sekiranya rayuan diteruskan, akan ada dua kemungkinan. Pertama, jika Jill Ireland menang, ia akan memberi presiden kepada kebebasan untuk sesiapa membawa bahan larangan yang berpotensi mengelirukan sehingga kawalan ekstensif dan lebih berhati-hati, perlu dijalankan untuk tujuan ini. Kekangan kepada penyebaran ajaran provokatif akan menjadi lebih sukar.
Kebarangkalian kedua adalah bencana yang lebih besar. Katakanlah jika kerajaan menang dengan laluan yang sukar, ia adalah satu malapetaka perundangan dan agama.
Ini akan menjadi rujukan kes di Malaysia yang bersifat diskriminatif, malah sekatan kepada amalan beragama oleh individu untuk tujuan peribadi akan menjadi ancaman kepada tuan badan dan orang lain.
Tidak mustahil juga perperangan antara agama menjadi lebih parah, hanya disebabkan Islam di Malaysia menggunakan segala cara untuk menjadi pemenang walaupun hakikat asasnya tidak berpaut dengan mana-mana tujuan provokatif dan pemesongan tauhid sesiapa pun.
Diskriminasi agama akan menjadi peraturan bertulis sekaligus menafikan hak kebebasan penganut agama untuk mengamalkan, malah memahami agama sendiri di samping menilai kualiti tauhid yang disempadankan sebuah undang-undang.
Adakah parti politik sanggup menjadi batu api perbalahan dan memperkecil tindakan kerajaan dan berlakon buta huruf untuk memenangi skor sentimen keagamaan?
Pengunduran semasa adalah langkah kecil yang diambil untuk mengelak mudarat yang sukar dibendung. Malangnya ia gagal difahami opportunis politik yang membaham semua masalah tanpa menilai maslahat.
Terlalu benar seruan pertama kerasulan adalah seruan membaca, di sebaliknya tersergam indah ilham kefahaman. Sebaliknya berlaku di negara Islam, seruan pertamanya adalah kecaman, tanpa menilai solusi dan jawapan.
Tuhan tidak perlukan pembelaan, tawaran pembelaan kepada Allah SWT adalah ikhtiar syurga dari hambanya. Tetapi layakkah mendapat redaNya jika lakonan pembelaan semata-mata mendatangkan mudarat tanpa perancangan?

Comments
Post a Comment