GELOMBANG PERPADUAN PH-BN BAKAL MERENTAS 6 NEGERI




Bendera sudah siap dicetak dan kini tersimpan rapi di bilik gerakan. Tarikh jelajah di 6 negeri sudah diumumkan. 


Ada yang sudah bersujud kerana bakal menjadi calon. Ada juga yang masih berdoa agar dicalonkan.


Bahang PRN 6 negeri kali ini semakin dirasakan. Kehangatan ini akan berterusan sehingga malam 12 Ogos kelak. Ia hanya akan dipadam oleh gelombang perpaduan atau gelombang hijau.


Pilihan saya adalah gandingan PH-BN. Ini bukan pilihan sebagai pengundi, namun sebagai seorang pemerhati bebas tidak bertauliah.


Saya percaya, gelombang perpaduan PH-BN bakal berkenduri besar semasa PRN 6 negeri kelak.


• Selangor


Amirudin Shari. Itu sahaja sudah cukup meyakinkan orang ramai untuk mengekalkan PH di Selangor.


Negeri ini adalah ‘crown jewel’ dalam PRN akan datang. #SelangorBaharu yang cuba dibawakan PN langsung tidak menggugat orang Selangor yang sudah berpuas hati dengan pentadbiran sedia ada.


Orang putih kata, “Kalau tidak rosak, tidak perlu dibaiki.”


• Negeri Sembilan


Kejayaan PH merampas Negeri Sembilan pada tahun 2018 adalah satu kejutan.


Sebelum itu sedari kemerdekaan, hanya Parti Perikatan atau kemudiannya BN yang pernah mentadbir Negeri Sembilan.


Ini kubu buat BN. PH pula dibawah Aminuddin Harun mempunyai rekod yang cemerlang dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini.


• Pulau Pinang


Gelombang hijau yang membadai utara tanah air tidak akan menyeberang ke Pulau Pinang.


Demografi Pulau Pinang yang rencam tidak akan sesekali menerima politik perkauman yang dibawa PN.


Kenyataan separa masak Sanusi Md Nor yang cuba ‘menjajah’ Pulau Pinang adalah tidak sensitif dan akan menguatkan lagi penolakan terhadap PN.


• Kedah


Sanusi bakal jadi faktor penolakan. Cuba senaraikan satu sahaja kejayaan Sanusi di Kedah. Mustahil.


Sanusi langsung tiada perancangan jangka masa panjang untuk Kedah. Lapangan Terbang Kulim yang cukup dibanggakan olehnya juga bukan datang dari Sanusi, sebaliknya Mukhriz Mahathir.


PH sebenarnya sudahpun berjaya merampas Kedah pada PRU-14. Hasil pembelotan Bersatu, PH akhirnya ditumbangkan. Kejayaan Kerajaan Perpaduan mendapatkan sumbangan RM60 juta daripada Bernas cukup dihargai para pesawah di sana dan bakal menjadi penentu undi kelak.


• Kelantan


Merampas Kelantan dari PAS adalah tugas sukar namun tidak mustahil.


Keterbukaan PMX untuk turut membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan krisis air di Kelantan dengan peruntukan RM1.5 bilion sudah tentu disambut baik penduduk di sana.


Kelantan memerlukan perubahan. Sudah berdekad lamanya Kelantan bergelumang dengan krisis bekalan air, masalah infrastruktur, peluang pekerjaan dan macam-macam lagi. Maka dengan itu tidak mustahil sekiranya Kelantan akhirnya dilanda gelombang perpaduan PH-BN.


• Terengganu


Satu lagi kubu kuat PAS. Negeri asal Presiden PAS. Menawan Terengganu adalah misi hampir mustahil buat PH-BN.


Namun seperti kata orang dulu-dulu, tiada yang mustahil dalam politik. Sambutan luar biasa semasa Rumah Terbuka Malaysia Madani di Terengganu dengan kedatangan 15 ribu pengunjung seolah memberi signal penerimaan terhadap kepimpinan PMX.


Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan tambahan RM50 juta buat mangsa banjir di sana dan dilihat terbuka untuk bersama membangunkan Terengganu.


Kesimpulannya, gelombang perpaduan PH-BN bakal melanda 6 negeri semasa PRN kelak.

Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA