SEJARAH PERJUANGAN ANWAR IBRAHIM MENUBUHKAN UIAM



Sosok bernama Anwar Ibrahim punya sejarah yang panjang sebagai aktivis pendidikan berteraskan Islam di Malaysia.


Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang tersergam megah hari ini adalah hasil perjuangan Anwar hari semalam.


Tiada UIAM tanpa DSAI. Tiada Universiti Islam tanpa Anwar.


Perjuangan Anwar menuntut pembinaan sebuah Universiti Islam sudah dimulakan lama sebelum beliau bergelar ahli politik lagi.


Idea asal penubuhan sebuah Universiti Islam bermula di Universiti Malaya semasa Kongres Kemajuan Islam se-Malaysia 1966 yang turut dihadiri Anwar Ibrahim sebagai aktivis mahasiswa.


Pada tahun berikutnya, Kertas Kerja Konsep Universiti Islam diterbitkan Prof. Dr. Ungku Omar semasa Seminar Peradaban Islam anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Kolej Islam Malaya. Anwar merupakan antara pemimpin PKPIM yang terlibat menganjurkan seminar bersejarah tersebut.


Pada Februari 1969, Malaysia berdukacita di atas kehilangan Prof. Dr. Ungku Omar.


Namun, pemergian Allahyarham tidak bererti perjuangan beliau terhenti. Anwar meneruskan legasi Allahyarham dengan berterusan mendesak Kerajaan soal peri pentingnya penubuhan sebuah institusi pengajian tinggi Islam di tanah air.


Selepas melihat ketidaksediaan Kerajaan, Anwar sebagai Yang di-Pertua PKPIM memilih untuk bertindak lebih tegas.


Beliau menulis sepucuk surut bertarikh 23 September 1970 kepada Perdana Menteri, Tun Abdul Razak yang menggesa Kerajaan untuk menubuhkan sebuah Universiti Islam di Malaysia.


Walaupun perjuangan ini seolah menemui jalan buntu, Anwar tidak berhenti. Beliau sedar, perjalanan menuntut pendidikan berteraskan agama buat anak bangsa bukan satu perjalanan mudah.


Menerusi platform ABIM, Anwar bergiat aktif bersama pemikir dunia Islam seperti Prof. Ismail Faruqi dan Prof. Syed Naquib al-Attas dalam membawa gagasan ‘Islamisasi Ilmu’.


Perkara ini disahkan sendiri oleh mantan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Kamal Hassan dalam makalah Centris, IIUM berjudul ‘Islamisation of Human Knowledge’ yang mengimbas kembali sejarah penubuhan UIAM. 


Menerusi penulisan tersebut, beliau menamakan Anwar Ibrahim sebagai pelopor perjuangan ‘Islamisasi Ilmu’ di Malaysia.


Penyertaan Anwar di dalam UMNO yang kemudiannya menyaksikan beliau dilantik sebagai Menteri Kabinet pada tahun 1982 memberikan platform yang lebih besar untuk beliau meneruskan agenda Universiti Islam yang sekian lama diperjuangkan.


Akhirnya pada tahun 1983, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ditubuhkan.


Sudah tentu sebagai pemimpin yang lantang membawa perkara ini daripada sekadar tulisan di kertas konsep kepada bata dan simen yang membentuk universiti, Anwar Ibrahim diberikan penghormatan untuk menanam sebatang pokok sebagai simbolik semasa majlis pecah tanah di Gombak.


Sejarah Anwar dengan UIAM tidak terhenti di situ. Peranan beliau sebagai Menteri Pendidikan dan Presiden UIAM paling lama dalam sejarah mempunyai seribu satu cerita yang boleh dirungkai.


Barangkali perkara ini akan dikupas dalam penulisan yang seterusnya.


Kisah ini adalah peringatan kepada semua betapa idea yang dilakar di atas kertas dan dibicarakan di pinggir bibir mampu direalisasikan. Asal perjuangan itu ikhlas atas nama agama dan bangsa.


Sekian.

Comments

Popular posts from this blog

10 KEJAYAAN KERAJAAN PERPADUAN

PMX TEGAS DI PENTAS ASEAN ISU REJIM MYANMAR DAN PELARIAN ROHINGYA